Halaman

Teknologi Bluetooth

Bluetooth merupakan teknologi tanpa wayar (wireless). Ia menggunakan gelombang radio bagi membolehkan peranti-peranti mudah alih seperti PDA atau laptop berkomunikasi antara satu sama lain. Penggunaannya juga boleh diperluaskan lagi kepada desktop dimana desktop boleh dihubungkan ke pencetak ataupun pengimbas tanpa menggunakan wayar penyambung. Konsep perangkaian ini telah dinamakan sebagai Personal Area Network atau PAN. 

Pembangun asal Bluetooth ialah Ericsson, Intel, Microsoft, IBM dan Toshiba. Kemudian satu kumpulan yang dikenali sebagai Bluetooth Special Interest Group atau SIG telah ditubuhkan yang terdiri daripada sembilan syarikat utama dalam bidang IT, iaitu 3Com, Ericsson, IBM, Intel, Lucent, Microsoft, Motorola, Nokia dan Toshiba. Di samping itu, terdapat 1882 syarikat yang terlibat dalam membangunkan produk yang berasaskan teknologi Bluetooth. 

Bluetooth telah dibangunkan bertujuan untuk memberikan keselesaan kepada pengguna yang menggunakan perkakasan mudah alih. Kajian Gartner Dataquest mendapati bahawa terdapat lebih daripada 900 juta pengguna yang menggunakan pelbagai perkakasan mudah alih terutamanya laptop dan telefon bimbit dalam tempoh lima tahun. 

Kebanyakan urusan yang dilakukan oleh pengguna ini memerlukan penyelesaian yang pantas. Ini termasuklah pertukaran dan perkongsian maklumat seperti nombor telefon, jadual, fail-fail penting dan mungkin juga pasaran saham. Ia boleh menghubungkan pencetak, ‘Mobile Phones’, ‘Handsfree Headsets’, ‘LCD projectors’, ‘Modems’, ‘Wireless LAN devices’, ‘Notebooks’, ‘Desktop PCs’, ‘PDAs’ dan lain-lain. 

Sekiranya pengguna masih menggunakan sistem perkakasan yang konvensional seperti sedia ada, ( dengan menggunakan wayar serta terpaksa pula mencari soket penyambung ) sudah tentu masa akan terbuang begitu sahaja dan bagi memburukkan keadaan beberapa tranksaksi penting tidak dapat dilakukan. 

Peranti Bluetooth boleh dihubungkan ke LAN yang sedia ada seperti Ethernet LAN korporat menerusi satu titik akses yang terdiri daripada pemancar Bluetooth, pengawal jalur asas, litar untuk menterjemahkan data dari format Bluetooth ke Ethernet dan juga antaramuka yang menghubungkan titik akses ke rangkaian LAN yang sedia ada. Pengguna dapat menikmati kemudahan yang boleh didapati dalam rangkaian LAN asalkan ia tidak terkeluar dari lingkungan titik akses tersebut. 

Terdapat tiga ciri keselamatan yang ada dalam peranti Bluetooth iaitu pertama, tanpa keselamatan di mana peranti tidak menetapkan ciri-ciri keselamatan ketika komunikasi dijalankan. Kedua, keselamatan pada peringkat perkhidmatan, yang memberikan ciri-ciri fleksibal ketika capaian aplikasi dilakukan dan ketiga, keselamatan peringkat pautan di mana peranti akan menentukan prosedur keselamatan terlebih dahulu sebelum komunikasi dilakukan. 

Pada masa sekarang, teknologi Bluetooth digunakan dengan meluas dalam perkhidmatan telefon bimbit, percetakan tanpa wayar, PC mudah alih, alat dengar tanpa wayar, barangan elektronik seperti kamera, walkman, VCR, pen elektronik, pemain muzik mudah alih dan juga industri robotik. 


Pelbagai produk yang berkeupayaan Bluetooth 

Bluetooth beroperasi dalam jalur frekuensi radio di sekitar 2.4Ghz. Ia membolehkan transmisi data dilakukan dengan kadar 712Kb dan julat kawasan operasi ialah di sekitar 10 meter ( 33 kaki ). Komunikasi di antara peranti-peranti yang menggunakan Bluetooth ialah berkonsepkan peer-to-peer. 

Kebaikan menggunakan teknologi ini ialah sesuatu peranti itu boleh digunakan dan berkomunikasi tanpa menggunakan wayar. Ini sekaligus menjimatkan masa pengguna dengan tidak perlu memasang wayar dan juga kabel penyambung ke peranti lain. Ia juga menyatukan beberapa perkakasan mudah alih seperti laptop, PDA dan telefon bimbit. 


Manakala keburukannya pula ialah maklumat boleh dicuri oleh peranti lain dan juga mungkin terdapat gangguan gelombang bagi kawasan yang sesak. Di samping itu, tidak begitu banyak perisian dan perkakasan yang menyokong teknologi ini, mungkin kerana ia masih lagi baru digunakan. Laman web rasmi bagi Bluetooth ialah www.bluetooth.com.